KUALA SELANGOR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekata beliau juga kecewa apabila beberapa Menteri di dalam kabinetnya digugurkan daripada senarai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerana ia dilihat akan memberi kesan kepada keputusan PRU15.
“Saya sendiri memang rasa kecewa bila rakan-rakan saya terutamanya Menteri saya dalam Kabinet tidak dapat bertanding.
“Jadi ia boleh menjejaskan keputusan PRU15 nanti,” katanya pada sidang media di Puncak Alam Driving Range, Bandar Puncak Alam, di sini, malam tadi
Ismail Sabri menyifatkan tiga nama besar yang gagal bertanding semula pada PRU15 merupakan calon boleh menang di kawasan masing-masing.
“Saya percaya Tan Sri Noh Omar, nama besar ini bila bertanding di Tanjong Karang pasti menang.
“Dari segi ramalan, kawasan dia adalah putih, memang boleh menang, Tan Sri Annuar Musa calon boleh menang di Ketereh.
“Datuk Seri Salleh di Jempol dan beberapa nama lagi yang besar yang tidak dicalonkan memang boleh menang,” katanya.
Pada 3 November lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang di Selangor dan Jempol di Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Naib Presdien Umno itu berkata, mereka yang disingkirkan itu berjiwa besar apabila tidak bertindak bertentangan dengan parti dan kembali memenangkan BN.
“Bagaimanapun kami berjiwa besar dan meletakkan kepentingan parti daripada kepentingan diri sendiri.
“Memang betul pada awal mereka kecewa tetapi akhirnya mereka kembali perjuangan untuk memenangkan BN,” jelasnya.