KUALA LUMPUR: Tiada keperluan lagi mempersoal kewajaran Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pertimbangan itu diambil untuk menolak kemudaratan dan bahaya lebih besar kepada parti itu.
Ahmad Zahid juga menyorot pengalaman bagaimana UMNO berpecah-belah di kala kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan sebelum ini.
Malah Pengerusi BN itu menekankan bahawa keputusan menyertai PKR, DAP dan Amanah di dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan pusat selari dengan nas dan hadis sahih, yang mana lebih baik menolak kemudaratan, berbanding menarik sebarang kebaikan.
“Agenda pecah perintah disasarkan terhadap parti. Inilah mudarat yang paling besar pada parti yang kesannya dapat dilihat dengan jelas menerusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kita tidak boleh membenarkan lagi agenda seumpama itu berlangsung kepada parti ini pasca PRU15.
“Menolak kemudaratan dan bahaya lebih diutamakan, berbanding menarik sebarang kebaikan.
“Apa sahaja perkara yang boleh memudaratkan parti dan perpaduan dalaman mesti dihalang dan dielakkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2022, yang berakhir hari ini selepas empat hari bersidang.
Ahmad Zahid juga percaya, Kerajaan Perpaduan adalah penyelesaian terbaik mengelakkan UMNO sekali lagi diratah perpaduannya.
“Insya Allah dengan itu (menerusi kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan) juga kita mampu menghadapi PRN negeri terdekat ini dengan gagah dan kuat, khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Untuk Pulau Pinang dan Selangor serta Negeri Sembilan bersedialah, kita akan menjadi sebahagian daripada kerajaan semula,” katanya.