Penyelia Kilang ‘Mabuk’ Tak Mengaku Salah Langgar Atlet Kayak Hingga Parah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar dan menyebabkan kecederaan parah kepada atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md Elias, Sabtu lalu.

Penyelia kilang, R Dhinesh, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memandu kereta Toyota Vios dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 178 miligram/100 milimeter, 50 miligram melebihi had, daripada had ditetapkan iaitu 128 miligram/100 milimeter.

Ia menyebabkan kecederaan terhadap Siti Nurul Masyitah, yang juga atlet kayak dan bot naga kebangsaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di sini,kira-kira jam 4.19 petang pada 11 Mei lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama akta berkenaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 dengan lesen memandu dibatalkan dan hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu maksimum tujuh tahun daripada tarikh sabitan, selain lesen memandu percubaan dibatalkan, jika ada.

Pegawai Pendakwa Trafik S Vikineswary mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, S Vikineswary memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan ke atas tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana gajinya tidak sampai RM2,000 sebulan.

Majistret kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin, lesen memandunya digantung sehingga kes selesai selain perlu melapor diri di Balai Polis Skudai sebulan sekali.

Majistret turut menetapkan sebutan semula pada 24 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Semalam, Siti Nurul Masyitah, 22, dilaporkan parah apabila retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki akibat terbabit kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya EDL.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal di Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi dirempuh kereta dipandu suspek dari arah belakang.

BBerkaitan

Latest articles