Penyelewengan Dana SRC Dilakukan Pihak Ketiga, Najib Tak Terlibat

Bukan Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya ada ‘pihak ketiga’ yang didakwa melakukan penyelewengan dana syarikat SRC International.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Harvinder Singh menerusi perbicaraan kes penggubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaun peribadi bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Pihak pembelaan berkata pemindahan dana itu dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC International ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Katanya, pegawai penyiasat Rosli Husain turut memberi keterangan yang notis merah Interpol sudah dikeluarkan ke atas Nik Faisal dan Jho Low atas dakwaan melakukan pecah amanah bersama.

“Ada bukti mencukupi untuk membuktikan kemungkinan Jho Low dan Nik Faisal melakukan pecah amanah,” ujarnya.

Harvinder turut mengemukakan bukti daripada bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu, yang bercakap dengan Jho Low sebagai orang tidak diberikan kuasa ke atas akaun Najib, juga menunjukkan ahli perniagaan terbabit “memanipulasi akaun itu tanpa pengetahuan pemegang akaun”.

Katanya, 3 pertuduhan pecah amanah terhadap Najib menyeleweng RM42 juta daripada SRC International sebagai ejen yang diamanahkan dengan dana awam “tidak akan dapat dibuktikan”.

“Dalam pembelaannya (Najib), beliau tidak mengarahkan atau terbabit dengan transaksi RM42 juta.

“Untuk mengekalkan pertuduhan pecah amanah, bukti secara keseluruhan perlu membuktikan sama ada melalui penemuan fakta atau kesimpulan yang hanya konsisten dengan kesalahannya,” ujar Harvinder.

Untuk rekod Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Najib turut didakwa dalam penggubahan wang dan pecah amanah dalam transaksi RM42 juta dana SRC International ke dalam akaun peribadinya.

BBerkaitan

Latest articles