KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kematian seorang wanita yang dibunuh kekasihnya di sebuah rumah teres di Taman Seri Mangga Seksyen 1, Malim, pada Ahad lalu disebabkan 14 kesan tikaman termasuk satu yang menembusi pembuluh darah utamanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan hasil laporan bedah siasat yang dilakukan pakar Perubatan Forensik Hospital Melaka pada Isnin lalu selama lapan jam terhadap tubuh wanita berusia 52 tahun itu.
Lebih lanjut, mangsa mati dengan mengalami tiga tikaman di muka, 10 di dada, lengan dan tangan serta satu tikaman pada betis kanannya.
Mangsa merupakan seorang penyanyi dan pelayan di pusat hiburan di negeri berkenaan.
“Terdapat juga kesan luka hiris pada bahagian dada dan tangan kiri serta kesan lebam di bahagian dahi si mati. Punca kematian adalah satu tikaman di dada kiri yang telah menembusi aorta interkostal kedua dan menembusi sehingga ke ascending aorta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil tikaman di dada kiri itu menyebabkan pendarahan dan pengumpulan darah dalam kantung jantung sehingga menyebabkan kematian mangsa.
“Si mati juga disahkan telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam daripada waktu bedah siasatan dijalankan bermula pukul 9 pagi Isnin lalu,” jelasnya lagi.
Media pada Ahad lalu melaporkan kematian seorang wanita yang merupakan isteri orang dan mempunyai tiga anak, yang mayatnya ditemui berlumuran darah di atas katil di dalam bilik rumah sewa itu.
Dipercayai mangsa mula menyewa di rumah berkenaan sejak enam bulan yang lalu, manakala suaminya menetap di Kuala Lumpur.
Suspek yang dipercayai kekasihnya turut cedera dipercayai cuba bunuh diri selepas kejadian itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka sebelum ditahan reman selama tujuh hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.