Penyanyi ‘Bea Sobar Bea’, Lima Lagi Dibebaskan Dari Tuduhan Memiliki Pil Yaba

KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin, bersama suami dan empat individu lain, dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November lalu.

Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan semasa prosiding perbicaraan.

Eda Ezrin, atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, serta suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, bersama rakan mereka Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dilepaskan daripada pertuduhan utama tersebut.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan mengambil dadah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda 4,000 baht (RM526) setiap seorang.

Tempoh pemenjaraan itu telah selesai dijalani, selain faktor kelakuan baik yang ditunjukkan oleh para tertuduh.

Sementara itu, Erdeka dan Zuhaira turut dikenakan denda RM526 kerana memasuki Thailand tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Sejurus keputusan dibacakan, Eda Ezrin serta lima yang lain dilihat menangis dan berpelukan di kandang tertuduh.

Terdahulu, mereka tiba di Mahkamah Wilayah Narathiwat menaiki trak penjara pada jam 9.10 pagi (waktu Thailand) bagi mendengar keputusan dua pertuduhan yang dihadapi – iaitu memiliki 6,059 pil yaba dan mengambil dadah di pekan Sungai Golok.

Dua rakan Eda Ezrin turut berdepan satu lagi pertuduhan tambahan berkaitan kemasukan ke Thailand tanpa dokumen yang sah.

BBerkaitan

Latest articles