KUALA LUMPUR: Situasi penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Kelantan sangat membimbangkan berdasarkan data tangkapan, reman dan sabitan yang menunjukkan trend peningkatan sejak 2022, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata tinjauan dan taklimat yang diterimanya semasa lawatan kerja ke negeri ini hari ini menunjukkan bahawa jenayah berkaitan dadah menjadi antara isu keselamatan paling serius di Kelantan.
“Data menunjukkan bahawa majoriti dadah yang dirampas adalah daripada kategori sintetik seperti pil kuda dan dadah stimulan. Ganja turut dirampas tetapi dalam jumlah lebih kecil.
“Trend penagihan, pengedaran dan penyeludupan dadah semakin meningkat dan hal ini dapat dilihat melalui jumlah tangkapan serta kes-kes yang berakhir dengan sabitan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Rantau Panjang, hari ini.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kesesakan penjara di negeri ini yang dikaitkan dengan sabitan kes dadah. -BERNAMA