Penyakit Skizofrenia ‘Selamatkan’ Nasib Penganggur, Bebas Pertuduhan Bunuh Bapa Saudara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan seorang penganggur daripada pertuduhan membunuh bapa saudaranya setelah mendapati dia tidak siuman ketika kejadian berlaku tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md Nurdin ketika membaca penghakimannya, berkata kes tersebut tidak perlu dipanggil untuk pembelaan susulan mahkamah berpuas hati dengan laporan dan keterangan saksi iaitu seorang psikiatri yang mengesahkan tertuduh mempunyai penyakit skizofrenia, sejak 2009.

“OKT (Orang Kena Tahan) juga mempunyai kebergantungan kepada dadah yang memburukkan lagi keadaan.

“OKT berada dalam keadaan mental yang tidak waras dan tidak sedar akan sifat dan akibat daripada perbuatannya serta tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatannya adalah salah dan bertentangan dari segi undang-undang,” katanya.

Keadaan tertuduh, Ahmad Tarmizi Harun, 33, yang tidak waras itu juga dibuktikan apabila dia tidak cuba menghapuskan bukti apabila batu-bata yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan masih berada di tempat kejadian.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan mengikut Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut pertuduhan, Tarmizi didakwa membunuh Ahmad Halim Bahari, 61, di halaman rumah di Kampung Piang, Mukim Kerunai, Gerik pada 10 Nov 2020 yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun susulan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), dia boleh dikenakan hukuman penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang dari 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sally Chai Mei Ling, manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

BBerkaitan

Latest articles