KOTA KINABALU: Harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia ditetapkan pada RM1.99 seliter bermula 30 September ini menerusi pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95), umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata penurunan harga itu membuktikan komitmen kerajaan Madani dalam menunaikan janji Pakatan Harapan, hasil daripada tadbir urus telus, pembasmian rasuah dan pengurusan kewangan negara yang lebih baik.
“Ini janji kita sejak dahulu. Tetapi hutang negara terlalu tinggi, rasuah berleluasa dan ketirisan terlalu besar. Sebab itu kami ambil masa untuk bersihkan keadaan. Jika negara ditadbir dengan jujur dan bersih, rakyat akan hidup lebih senang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan sempena 27 tahun Reformasi di Dewan Yu Yuan, malam tadi.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pimpinan tertinggi PKR.
Anwar menegaskan, langkah Malaysia menurunkan harga petrol adalah unik kerana negara lain termasuk pengeluar minyak terbesar dunia tidak berbuat demikian.
“Arab Saudi pun harga petrol RM2.60 seliter. Malaysia berani turunkan kepada RM1.99 untuk rakyat, manakala warga asing kekal pada harga RM2.60,” katanya.
Bermula esok (28 Sept), anggota polis dan tentera akan menikmati harga baharu itu, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada Ahad (29 Sept), sebelum diperluas kepada seluruh rakyat Malaysia pada 30 September.
Melalui BUDI95, kerajaan dijangka memperoleh penjimatan RM2 bilion hingga RM3 bilion, yang akan disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan serta inisiatif baharu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan bulan depan bakal memperincikan lebih banyak langkah kebajikan rakyat hasil daripada penjimatan tersebut.
“Ini usaha terbaik kerajaan Madani untuk rakyat. Negara kita sebenarnya kaya, cuma perlu ditadbir dengan telus dan amanah,” tambahnya.