Penuntut Kekal Mengaku Bersalah Bakar, Bunuh Kekasih Hamil

KLANG: Seorang penuntut, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, mengekalkan pengakuan bersalah atas pertuduhan membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Klang hari ini, walaupun peguamnya, Muhammad Nor Tamrin sudah menasihatkan agar mempertimbangkan semula kerana hukuman berat menanti.

“Dia tetap bertegas mahu mengaku bersalah, jadi mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan yang sudah ditetapkan,” kata peguamnya ketika ditemui media.

Penolong Kanan Pendaftar, Luqman Abdul Haris kemudian menetapkan 10 Oktober depan bagi sebutan semula kes, manakala perbicaraan penuh dijadualkan bermula 27 Oktober 2026.

Pada 1 Jun 2023, tertuduh didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, antara jam 8.30 malam 22 Mei hingga 8 pagi 23 Mei 2023.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Siasatan awal mendapati, mangsa yang juga seorang pelayan restoran maut selepas ditikam, perutnya dikelar, sebelum dibakar oleh tertuduh di kawasan kebun kelapa sawit.

Perselisihan faham berkaitan kehamilan luar nikah dipercayai menjadi punca insiden tragis itu berlaku.

BBerkaitan

Latest articles