Penulisan Tommy Thomas Menghina Pegawai Perundangan, Kata JALSAO

Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSAO) membidas penulisan bekas Peguam Negara, Tan Sti Tommy Thomas menerusi bukunya, My Story: Justice In The Wilderness.

JALSAO menyifatkan Thomas telah menjatuhkan kehormatan dan nama baik jawatan yang pernah disandangnya sebelum ini.

“Sebagai Peguam Negara, beliau juga adalah Ketua Perkhidmatan kepada Pegawai Undang-Undang dalam Skim Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

“Tetapi, kenyataannya (penulisan) itu menunjukkan beliau telah salah arah dan salah tanggapan mengenai peranan Pegawai Undang-Undang dalam skim perkhidmatan ini.

“Memang tidak patut Tommy menggelar Pegawai Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara sebagai peguam kerajaan yang hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran,” demikian memetik kenyataan itu.

Bukan itu sahaja, JALSAO berpendapat penulisan Thomas bersifat jahat dan cubaan menghina Pegawai Undang-Undang keseluruhannya.

Mereka turut meluahkan rasa terkilan memandangkan Pegawai Undang-Undang sama ada yang ditempatkan di Jabatan Peguam Negara mahupun di mahkamah sentiasa menjalankan amanah dipertanggungjawabkan kepada mereka menurut peruntukan undang-undang tanpa mengira siapakah Peguam Negara atau kerajaan yang memerintah.

“Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malahan dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditekankan di dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja Pegawai Undang-Undang.

“Tommy tidak wajar mempertikaikan kemampuan, keupayaan dan keboIehan Pegawai Undang-Undang di bawah seliaan beliau dalam tempoh yang singkat, apatah lagi menyebut dengan jelas nama Pegawai Undang-Undang dalam bukunya dengan cemuhan,” katanya.

JALSAO menegaskan tidak ada bezanya bagi Pegawai Undang-Undang yang mempunyai kelayakan dan kelulusan akademik setaraf dengan peguam swasta hadir mewakili kerajaan serta berjuang dalam pertikaian pihak-pihak di mahkamah termasuk pertikaian dan rundingan antarabangsa demi kepentingan negara.

“Ini kerana, apa-apa juga perasaan tidak puas hati beliau semasa berurusan dengan Pegawai Undang-Undang tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tatapan umum.

“Persepsi itu adalah ciptaan Tommy sendiri atas kegagalannya menerajui Jabatan Peguam Negara serta memahami pentadbiran perkhidmatan awam,” katanya.

Apa yang penting ujar JALSOA, Tommy patut menjaga kehormatan dan nama baik jawatan Peguam Negara yang pernah disandang beliau serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam sebagaimana diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

BBerkaitan

Latest articles