Penting Untuk Pengundi Sokong Calon Sealiran Dengan Kerajaan Pusat

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) di DUN Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan adalah penting untuk pengundi memilih wakil rakyat yang sama aliran dengan kerajaan pusat.

Sekaligus dapat meneruskan kesinambungan kemajuan rakyat dan negeri yang telah dirancang demi kestabilan dan kemakmuran.

Megat juga berharap pengundi, terutama generasi muda tidak mudah terpengaruh dengan dakyah politik pihak lawan yang mengamalkan kempen tidak sihat semata-mata hendakkan kemenangan.

“Saya doakan agar kita dapat menang di semua 56 kerusi DUN Selangor. Ini penting, bukan semata-mata untuk menang PRN sahaja, tetapi PRN adalah bagaimana kita hendak tentukan hala tuju Selangor yang ketika ini berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shaari, yang mana beliau telah membawa Selangor ke satu tahap yang boleh dibanggakan.

“Ini penting utk memberikan kesejahteraan, kemakmuran dan keselesaan kepada rakyat negeri Selangor.

“Jangan kita merugikan undi, terutamanya anak-anak muda, jauhkan dari politik mengadu-domba dan kata-kata nista, politik fitnah dan kebencian, ini tidak sihat utk Selangor. Kita mesti pastikan generasi muda di Selangor adalah anak-anak yang kita inginkan mereka mempelajari dan bersama politik yang positif, yang akhirnya boleh memberi keselesaan kepada seluruh rakyat,” katanya yang ditemui pemberita di perkarangan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu yang menjadi lokasi penamaan calon bagi kerusi DUN Gombak Setia, Hulu Kelang dan Sungai Tua hari ini.

Tegas Megat lagi, sekiranya pengundi tersalah pilih, pastinya kemajuan yang sedang dinikmati rakyat Selangor ketika ini ‘terhenti’ seperti yang dialami negeri-negeri yang bukan ditadbir gabungan Kerajaan Perpaduan.

“Kita tak mampu utk bersama dalam kerajaan negeri yang bukan sealiran dengan kerajaan pusat. Kita dapat lihat apa yang berlaku di negeri-negeri lain yang mempunyai pandangan politik berbeza,” tambahnya.

Dalam pada itu, Megat berharap dirinya diberi peluang sebaik-baiknya dalam kalangan pengundi DUN Gombak Setia pada PRN kali ini.

Pengerusi BN Selangor itu juga turut menyatakan kesediaannya untuk berdebat secara terbuka bagi membentangkan tawaran khusus bagi rakyat Gombak Setia.

Megat bakal ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hilman Idham dan calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali.

BBerkaitan

Latest articles