JOHOR BAHRU: Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor menafikan dakwaan kononnya kekurangan telur ayam di pasaran disebabkan tindakan sabotaj penternak yang mahukan harga bahan mentah itu dinaikkan.
Setiausahanya, Lau Ka Leng, berkata tuduhan itu amat tidak berasas apatah lagi tindakan sabotaj termasuk menyimpan telur di gudang, hanya merugikan penternak.
Katanya, tuduhan yang menyatakan pemborong mengutamakan pasaran Singapura juga tidak benar kerana isu kekurangan telur di pasaran kerana berlaku kekurangan ayam penelur di seluruh negara.
“Penternak ayam sebenarnya menghadapi isu kekurangan ayam penelur sejak beberapa bulan lalu berikutan gabungan faktor isu kekurangan ayam, harga dedak yang terlalu tinggi serta penyakit Katanya seperti yang dilaporkan Oleh Berita Harian
“Kekurangan ayam segar sebelum ini menyebabkan penternak terpaksa menjual ayam penelur sebagai ayam daging berikutan permintaan tinggi ayam segar di pasaran.
“Ia menyebabkan kita kekurangan ayam penelur dan pusingan telur untuk pasaran juga akhirnya terjejas.
“Harga dedak yang terlalu tinggi dan penyakit yang menyerang ayam juga antara faktor menyebabkan ayam penelur berkurangan sekali gus jadi punca bekalan telur terus terjejas dan tidak dapat dipenuhi sejak hampir lima bulan lalu,” katanya ketika dihubungi.
Minggu lalu, peniaga kedai runcit sekitar Johor Bahru dilaporkan mendakwa isu kekurangan telur di pasaran tempatan sejak lima bulan lalu, seolah-olah disengajakan apabila pemborong mencatu bekalan telur yang dihantar ke kedai-kedai runcit di sini.
Ia berikutan peniaga mendakwa pemborong lebih mengutamakan telur dihantar ke pasaran Singapura berikutan harganya lebih tinggi di sana.
Dalam pada itu, Ka Leng menyifatkan tuduhan menyatakan kekurangan telur di pasaran adalah tindakan terancang penternak yang mahukan menaikkan harga bahan mentah itu juga adalah tuduhan yang melampau.
“Mana ada kita rancang dan simpan telur. Jangka hayat telur tidak lama, kalau disimpan akan rosak dan hanya rugikan kami.
“Berbanding ayam segar boleh disejuk beku, telur jika disimpan dalam peti sejuk lebih seminggu pun akan rosak,” katanya.
Bagaimanapun Ka Leng berkata, bekalan telur ayam kini semakin pulih apabila lebih 60 peratus permintaan dapat dipenuhi penternak ketika ini.
Katanya, ketika ini bekalan telur hampir stabil dengan hanya 40 peratus lagi gangguan pada bekalan.
“Sebab itu di beberapa kawasan berlaku situasi seperti lambakan bekalan telur sehari dua ini, sedangkan ia hanya kebetulan berlaku ketika kerajaan baharu ditubuhkan.
“Bekalan telur dijangka pulih sepenuhnya menjelang Ramadan nanti apabila pusingan ayam penelur dan telur dapat menghasilkan telur seperti biasa,” katanya.
Untuk rekod, secara purata negara memerlukan antara 30 hingga 31 juta biji telur sehari yang dikeluarkan oleh 1,500 penternak seluruh negara.