Penternak Ayam Johor Mahu Sekatan Eksport Ke Singapura Ditarik Balik, Bimbang Persaingan Daripada Indonesia

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Penternak ayam Johor dilaporkan menggesa kerajaan persekutuan menarik semula sekatan eksport ayam ke Singapura, dengan alasan bimbang Malaysia tidak mampu bersaing dengan negara lain seperti Indonesia contohnya.

The Star memetik penternak sebagai berkata bahawa Singapura telah mengimport 34 peratus ayam atau 3.6 juta ekor dari Malaysia bernilai RM84.24 juta pada 2020, manakala Setiausaha Persatuan Penternak Ayam (Kecil & Sederhana) Johor, Lau Ka Leng menegaskan bahawa, kini negara sudah boleh mengeksport semula ayam-ayam tersebut memandangkan bekalan dalam negara telah kembali stabil.

“Semakin lama kita berlengah, semakin besar potensi kita untuk tewas kepada negara lain yang kini mengeksport ayam ke Singapura. Malaysia masih mempunyai kelebihan dari segi lokasi dan keupayaan kita menghantar bekalan ayam hidup yang akan diproses dan dibekukan di Singapura.

“Kita tidak mahu pengguna di Singapura terbiasa dengan bekalan ayam dari Indonesia yang telah dibekukan, sejuk serta telah diproses,” katanya lagi.

Lau juga berkata Malaysia mempunyai satu lagi kelebihan iaitu ayam dari Indonesia lebih mahal kerana kos penghantaran, sambil menambah bahawa persatuan itu telah menghantar permohonan kepada kerajaan untuk menarik balik sekatan eksport.

Lau juga menyatakan bahawa buat masa ini industri hanya mampu mengeksport sejuta ekor sebulan ke Singapura berbanding tiga juta sebelum sekatan eksport dilaksanakan bermula 1 Jun lepas.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong Ayam Johor, Mohd Azmi Abdullah berkata industri ternakan ayam boleh mengalami kerugian jika penarikan balik sekatan eksport itu ditangguhkan kerana negara mempunyai lebihan bekalan ayam ketika ini.

“Harga siling ayam ialah RM9.40 sekilogram. Apabila berlaku lebihan bekalan, harga ayam akan turun, tetapi pada masa sama, kos ternakan ayam tidak berubah.

“Mereka yang mempunyai modal besar mungkin boleh bertahan dengan bantuan subsidi kerajaan, tetapi penternak kecil-kecilan terpaksa menjalankan perniagaan mereka dalam kerugian yang akhirnya akan menyebabkan perniagaan mereka terpaksa ditutup,” ujar beliau.

Mohd Azmi juga mencadangkan agar kerajaan memansuhkan harga siling dan hanya melaksanakannya semula pada musim-musim perayaan, sambil menambah bahawa langkah sedemikian sudah pernah digunakan sebelum ini.

“Jika kerajaan bimbang eksport mungkin mengurangkan bekalan kita, maka kerajaan boleh mengambil pendekatan mengehadkan jumlahnya. Kami boleh jalankan eksport secara berperingkat, misalnya bermula dengan 10% atau 30% dahulu dan kemudian ditingkatkan beransur-ansur sekiranya dirasakan perlu.

“Ini penting jika kita mahu memastikan terdapat aliran dalam pasaran kita,” katanya, sambil menegaskan bahawa gelombang kekurangan bekalan akan berlaku pada September jika penternak ayam memutuskan untuk mengurangkan bekalan sebagai langkah untuk mengurangkan kos.

Pada 1 Ogos lalu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ronald Kiandee menyatakan bahawa industri ayam telah semakin stabil selepas menghadapi kekurangan beberapa bulan lalu.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata bahawa langkah Malaysia untuk memansuhkan permit yang diluluskan (AP) dan membenarkan import ayam dari negara lain, serta tidak membenarkan eksport ayam ke luar negara telah menyumbang kepada pemulihan industri.

Tambah beliau lagi, industri ayam di Malaysia semakin pulih sehinggakan kini kita berdepan pula dengan situasi lebihan bekalan yang menyebabkan harga jatuh menjunam jauh berbanding harga siling.

Kerajaan sebelum ini telah menyekat eksport ayam mulai 1 Jun dalam usaha menangani isu bekalan dan kenaikan harga.

Sebelum ini, Singapura mengimport kira-kira satu pertiga daripada penggunaan ayamnya (lebih dua juta ekor setiap bulan) dari Malaysia.

Berikutan sekatan eksport Malaysia, Singapura menjangkakan lebih banyak bekalan ayam sejuk dari Australia, Indonesia dan Thailand, serta ayam beku dari Brazil dan Amerika Syarikat.

BBerkaitan

Latest articles