KOTA TINGGI, 12 Sept: Seorang penolong pengurus dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Zulhilmi Zailani, 40, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haydar Faridzal Abu Hasan.
Mengikut kertas pertuduhan, kejadian berlaku di tepi jalan berhadapan sebuah stesen minyak di Bukit Besar, pada jam 2 pagi, 6 September lalu.
Zulhilmi didakwa menyentuh dan menghisap kemaluan mangsa yang juga jirannya.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa, memohon hukuman berat sebagai pengajaran, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan atas alasan menghidap penyakit asma serta menanggung keluarga.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula tarikh tangkapan tanpa sebatan, namun tertuduh diwajibkan menjalani sesi kaunseling atau pemulihan, serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan.
Hasil siasatan mendapati, tertuduh menghantar mesej WhatsApp mengajak mangsa keluar makan pada malam 5 September.
Namun pada awal pagi keesokan harinya, dia membawa remaja itu ke sebuah stesen minyak sebelum melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Mangsa sempat melarikan diri ke tandas stesen minyak sebelum menghubungi rakannya untuk dibawa pulang.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 8 September lalu.