KUALA LUMPUR: Pendirian tegas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menolak gagasan ‘Rumah Bangsa’ diperkenalkan Umno dilihat berpotensi merencatkan usaha menghidupkan semula kerjasama politik antara kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, kenyataan Hadi itu bukan sekadar pandangan biasa kerana ia disampaikan menerusi tulisan bersiri Minda Presiden, yang lazimnya sarat dengan hujah ideologi dan dalil agama serta sering dijadikan rujukan oleh ahli dan penyokong PAS.
Menurut Hisommudin seperti yang dilaporkan FMT, apabila Hadi menyatakan gagasan tersebut tidak berteraskan Islam, ia boleh ditafsir sebagai penolakan jelas terhadap cadangan kerjasama yang cuba digerakkan oleh Umno.
Beliau menjelaskan, pendirian itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa usaha menghidupkan semula kerjasama politik seperti melalui Muafakat Nasional mungkin berdepan halangan besar buat masa ini.
Hisommudin berkata demikian ketika mengulas kemungkinan penolakan tersebut menjejaskan cadangan penyatuan Umno dan PAS yang kembali diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang dilancarkan awal bulan ini menghimpunkan beberapa parti politik berteraskan Melayu, Islam dan Bumiputera termasuk Umno, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Berjasa, Parti Kongres India Muslim Malaysia dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh pernah mencadangkan agar kerjasama antara Umno dan PAS dihidupkan kembali di bawah platform Muafakat Nasional, cadangan yang turut disambut positif oleh Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.
Malah, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa turut menggesa supaya kerjasama tersebut dipulihkan selepas ia terkubur menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 apabila PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional.
Mengulas lanjut, Hisommudin mencadangkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar tidak terlalu bergantung kepada PAS dalam menjayakan agenda ‘Rumah Bangsa’.
Menurutnya, sekiranya gagasan itu benar-benar bertujuan memulihkan keyakinan pengundi Melayu terhadap Umno, parti tersebut perlu meneruskannya secara konsisten tanpa menunggu penyertaan PAS.










