Penjelasan Peguam Negara Tentang Keputusan Ahmad Zahid Diperlukan – DAP

KUALA LUMPUR: DAP kekal dengan pendirian untuk Peguam Negara memberikan penjelasan terperinci berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas tanpa bebas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hal itu ditegaskan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook ketika diajukan pemberita selepas merasmikan Kongres Kebangsaan Wanita DAP di Shah Alam, pagi tadi.

“Semestinya perlukan penjelasan (daripada Peguam Negara) sama ada cukup sekadar penjelasan kepada umum, DAP tetap dengan pendirian kami dan satu penjelasan perlu diberikan tapi apakah jenis penjelasan itu saya tidak boleh paksa Peguam Negara apa nak beritahu.

“Terpulang kepada Peguam Negara untuk tentukan apakah penjelasan yang perlu diberikan, saya rasa Peguam Negara yang baru (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh) juga telah keluarkan kenyataan, hari ini,” katanya.

Penjelasan sedemikian adalah perlu bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi perundangan negara masih kukuh.

“Tidak ada persoalan sama ada DAP terima atau tidak, tapi kepercayaan masyarakat tentang sistem perundangan, itu yang saya nyatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya rasa Peguam Negara harus ambil langkah perlu untuk memastikan kepentingan dan kepercayaan rakyat masih kukuh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, DAP menyatakan pendirian agar kerjasama yang dibina dalam kerajaan perpaduan harus dicerminkan di peringkat akar umbi.

Anthony berkata, kerjasama dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dikekalkan kerana kelangsungan sebarang kerjasama adalah berdasarkan kepada hubungan baik antara ahli di peringkat bawah.

“Kalau kerjasama ini di peringkat pucuk pimpinan sahaja ia tidak cukup untuk memastikan bahawa kerjasama itu diterima oleh semua peringkat parti. Ini adalah satu permulaan yang baik malah dalam Perhimpuan Agung UMNO juga saya hadir.

“Ini adalah satu permulaan bagi saya dan sudah tentu kita kena buat lebih daripada itu, adakan program bersama di peringkat akar umbi supaya masyarakat melihat bahawa kerjasama ini adalah satu semangat yang baik dan juga satu semangat untuk membawa politik yang lebih progresif dalam negara kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles