KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menyifatkan kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mengenai dakwaan penyelewengan perbelanjaan RM600 bilion semasa tempoh pergerakan kawalan pergerakan darurat, hanya bersifat melindungi bekas Perdana Menteri itu.
“Ia (kenyataan) samar-samar dan memilih-milih fakta yang dicerita dan disorok.
“Pertama, dia (Marzuki) kata dia tidak tahu daripada mana angka RM600 billion itu datang. Apa yang dia cuba sorok atau buat-buat tidak tahu ialah angka itu datang daripada Muhyiddin sendiri ketika Muhyiddin adalah Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin berucap di hadapan masyarakat Sikh Malaysia pada bulan April 2021 dan berkata kerajaan sudah tidak ada duit, dan kerajaan sudah belanja lebih RM600 billion untuk ‘pakej-pakej rangsangan’.
“Persoalannya, ke manakah duit RM600 bilion ini pergi dan bagaimanakah ia dibelanjakan? Oleh kerana jumlah ini teramat besar, adakah perbelanjaannya itu telus dan tanpa ketirisan?” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Isham juga menempelak kenyataan Marzuki yang mendakwa RM447 bilion adalah dalam bentuk non-fiskal iaitu bukan perbelanjaan kerajaan.
“Dia menyenaraikan perbelanjaan-perbelanjaan iaitu duit pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM145 bilion, duit pengurangan bayaran KWSP adalah RM10 bilion, moratorium pinjaman bank pula RM180 bilion.
“Jumlah semua ini adalah sebanyak RM335 bilion, mana pergi lagi RM265 bilion?
“Marzuki kata lagi ada perbelanjaan RM83 bilion yang kononnya disalurkan terus kepada rakyat termasuk RM18 bilion Bantuan Prihatin Nasional di atas, dan Bantuan Prihatin Rakyat dan Subsidi Upah.
“Yang lain dia tidak senaraikan, dia ambil contoh sahaja, katanya. Tolak jumlah ini ada lagi RM182 bilion yang dia tidak cakap pergi ke mana,” ujarnya.
Bukan utu sahaja beliau turut mempersoalkan bagaimana wang-wang di atas dibelanjakan semasa darurat yang tidak ada semak-imbang dan semasa Parlimen ditutup.
“Saya dimaklumkan bahawa Bantuan Prihatin Rakyat/Nasional berbilion-bilion ringgit di atas adalah termasuk pemberian bakul-bakul makanan.
“Persoalannya berapa orang yang dapat bakul makanan ini? Berapakah nilai makanan yang rakyat dapat dalam bakul ini berbanding harga yang dicaj kepada kerajaan?
“Siapa yang dapat kontrak-kontrak pembekalan bakul-bakul ini? Adakah ia dibuat secara rundingan terus kepada kroni dan berapa margin yang buat daripada berbilion-bilion dana ini?” soalnya lagi.
Isham berkata, persoalan-persoalan itu adalah sama berkenaan perolehan-perolehan kerajaan dan kontrak-kontrak dan pembekalan barangan-barangan, peralatan dan perkhidmatan yang lain yang bernilai berbilion ringgit semasa darurat oleh pentadbiran Muhyiddin tanpa semak imbang dan semasa Parlimen digantung.
“Ini perlu diperincikan untuk semak-imbang dan tadbir urus yang telus. RM600 bilion ini adalah perbelanjaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia dan ia dilakukan semasa Parlimen ditutup dan semasa darurat.
“Perbelanjaan sebesar ini tidak boleh disorok di bawah karpet dan berharap rakyat akan melupakannya,” katanya.
Tambah Isham lagi, jika kerajaan serius untuk membendung rasuah dan meningkatkan tadbir urus yang baik dalam kerajaan, perbelanjaan RM600 bilion semasa darurat ini perlu dilihat dengan lebih terperinci.
“Seperkara lagi, kita tidak mahu sebahagian daripada wang berbilion di atas digunakan untuk parti-parti politik tertentu berbelanja besar untuk pilihan raya yang lepas dan menang melalui merasuah dan membayar pengundi.
“Jika mereka menang kerana mereka membayar pengundi daripada duit yang diperoleh daripada sumber-sumber haram seperti daripada komisen atau rasuah kontrak-kontrak di atas, maka kemenangan di kawasan-kawasan tersebut adalah tidak berkat.
“Ini kerana ia diperoleh daripada sumber yang haram dan rasuah.
“Jika mereka kata mereka bersih, mereka perlu bersedia untuk disiasat dan diaudit berkenaan hal ini dan mereka perlu memberikan perincian berkenaan kesemua perbelanjaan-perbelanjaan RM600 bilion tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Isham terus mendesak agar satu suruhan jaya diraja ditubuh bagi menyiasat penggunaan perbelanjaan RM600 bilion itu.
“Satu audit perlu dijalankan segera untuk melihat perbelanjaan-perbelanjaan di atas dengan lebih terperinci.
“Perkara-perkara di atas perlu dibentangkan di Parlimen untuk semak-imbang dan untuk pengetahuan rakyat jelata untuk membendung rasuah dan politik wang, dan untuk meningkatkan tadbir urus kewangan negara supaya menjadi lebih telus,” katanya.