Gara-gara memalsukan butiran pada surat kebenaran merentas negeri, seorang penjawat awam bersama keluarganya gagal meneruskan perjalanan pulang ke Putrajaya dari Alor Setar, Kedah.
Tindakan lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an dan bekerja sebagai kerani itu dilakukan kerana ingin berada lebih lama di kampung keluarganya untuk menyambut hari raya.
Menerusi surat kebenaran merentas negeri, mereka sekeluarga sepatutnya pulang ke Putrajaya pada 17 Mei lalu.
Lelaki berkenaan bagaimanapun meminta tarikh yang tertera pada surat kebenaran tersebut.
Memetik laporan BH, Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata tindakan lelaki itu dikesan apabila dia datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk memohon surat kebenaran pergerakan rentas negeri dari Pendang ke Putrajaya, semalam.
Beliau berkata, anggota bertugas mengesan sesuatu mencurigakan pada surat kebenaran dikeluarkan dari Putrajaya, sebelum semakan dilakukan mendapati tarikh tertera sudah diubah.
Berikutan itu, lelaki terbabit dan keluarganya tidak dibenarkan pulang ke sana (Putrajaya) dan terpaksa tinggal di kampung di sini sehingga siasatan kes selesai.
“Kes diserahkan ke Bahagian Komersial untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemalsuan surat kebenaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah, selain premis makanan segera dan pasar raya di sekitar bandar raya ini, hari ini.
Dalam pada itu, Zainuddin mengingatkan semua penjawat awam yang mereka boleh diambil tindakan sekiranya didapati merentas negeri tanpa kebenaran dan melanggar undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.