Penjawat Awam Boleh WFH, Sektor Swasta Digalak Ambil Langkah Sama

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini meneliti kemungkinan memperkenalkan semula kaedah kerja lebih anjal termasuk bekerja dari rumah (WFH) secara berperingkat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perutusan khas petang tadi, beliau memaklumkan kemudahan itu bakal diberikan kepada penjawat awam secara terpilih berdasarkan keperluan tugas dan situasi semasa.

Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan, malah boleh dilaksanakan secara terkawal tanpa menjejaskan produktiviti sektor awam.

Anwar dalam masa sama menggalakkan pihak swasta supaya mempertimbangkan langkah serupa, mengambil contoh beberapa syarikat dan institusi perbankan yang telah pun mengamalkan sistem kerja fleksibel sebelum ini.

“Saya yakin sektor swasta juga mampu melaksanakannya berdasarkan pengalaman lalu,” katanya.

Mengulas kedudukan ekonomi negara, beliau menegaskan kerajaan kekal berdisiplin dalam mengurus kewangan dengan memberi penekanan terhadap usaha membendung pembaziran serta ketirisan.

Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia menurutnya masih berada pada landasan kukuh dan terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik.

“Dalam keadaan dunia yang mencabar, Malaysia masih berjaya menarik pelabur dan kekal aktif sebagai hab ekonomi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus berusaha memperkukuh ekonomi negara dan memanfaatkan peluang yang ada untuk meningkatkan daya saing.

“Masih ada ruang untuk kita perbaiki keadaan dan melonjakkan keupayaan ekonomi negara,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles