Penjaga Stor Dadah Ditahan di Kondo Mewah, Dadah Bernilai RM11.43 Juta Dirampas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang bertindak sebagai penjaga stor stok ketamin dan syabu ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di Batu Caves, Selangor, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi tersebut, pihak polis berjaya merampas dadah bernilai RM11.43 juta.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan membungkus dadah dalam paket teh Cina bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, rampasan melibatkan 88.816 kilogram syabu dan 171.755 kilogram ketamin, yang dianggarkan boleh digunakan oleh lebih 1.02 juta penagih dadah.

Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun, dipercayai menerima gaji asas sebanyak RM10,000 serta komisen antara RM2,000 bergantung kepada jumlah dadah yang diedarkan kepada pelanggan.

“Kami percaya sindiket ini telah beroperasi sejak Disember tahun lalu dan menjadikan kondominium mewah yang disewa pada kadar RM2,500 sebulan sebagai lokasi penyimpanan dadah,” katanya.

Menurutnya lagi, bekalan dadah dipercayai diperoleh dari sempadan utara sebelum diedarkan ke sekitar Lembah Klang, dengan kemungkinan turut diseludup ke negeri lain.

Selain dadah, pihak polis turut menyita wang tunai berjumlah RM1,100 dan sebuah kereta Toyota Fortuner di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin, namun semakan lanjut mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles