SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji yang dilihat semakin membelenggu umat Islam di Malaysia.
Dalam kenyataan media Istana Alam Shah hari ini, baginda bertitah agar tindakan tegas segera diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang mengeksploitasi ibadah suci umat Islam itu demi keuntungan sendiri.
“Lebih menyedihkan apabila pihak yang menipu ini adalah dalam kalangan umat Islam sendiri, yang tergamak mengambil kesempatan terhadap saudara seagama demi kepentingan peribadi,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menyeru umat Islam agar lebih berwaspada dan hanya berurusan dengan agensi atau syarikat pelancongan yang berlesen serta diiktiraf oleh pihak berkuasa, seperti Lembaga Tabung Haji, untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan menyampaikan ucapan selamat kepada seluruh umat Islam di Selangor khasnya, dan Malaysia amnya.
Baginda berdua menzahirkan harapan agar Aidiladha kali ini disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan, selain memperkukuh semangat untuk membantu golongan miskin serta mereka yang kurang bernasib baik.
“Semoga ibadah korban dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan semangat persaudaraan Islam. Marilah kita mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua jemaah haji Malaysia yang kini berada di Tanah Suci.
“Semoga semua jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna, mendapat haji yang mabrur dan pulang ke tanah air dalam keadaan sihat serta selamat,” titah baginda.