Peningkatan Kos Punca Cawangan KFC Ditutup

 

KUALA LUMPUR: ‘Langkah proaktif’ dengan menutup sementara cawangan KFC dilakukan untuk menguruskan kos perniagaan yang semakin meningkat, demikian menurut pengendali rangkaian restoran makanan segera itu, QSR Brands.

Sementara itu pekerja daripada cawangan terjejas ditawarkan peluang untuk berpindah ke cawangan yang lebih sibuk.

“Ia juga sebahagian daripada strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun QSR Brands tidak memperincikan bilangan cawangan KFC yang ditutup.

Khabar angin penutupan rangkaian restoran makanan segera itu dilaporkan oleh Nanyang Siang Pau, yang mendakwa lebih 10% cawangan KFC menghentikan operasi, dengan sejumlah 108 kedai ditutup buat sementara waktu setakat 27 April, berdasarkan maklumat di Google Maps.

Peta memaparkan kedai yang kemas kini statusnya dengan “ditutup buat sementara waktu”.

Menurut akhbar harian Cina itu, terdapat sehingga 21 cawangan di Kelantan ditutup, bersamaan 80%; diikuti 15 cawangan di Johor.

Sementara itu, semakan oleh The Straits Times ke atas tiga cawangan di Kuala Lumpur iaitu di Jalan Ipoh, Jalan Sultan dan Taman Melawati mendapati terdapat papan tanda “ditutup buat sementara waktu”.

Penutupan itu menyusuli boikot selama berbulan-bulan selepas KFC dikaitkan dengan Israel dan perang yang tercetus di Gaza.

QSR memaklumkan KFC menyediakan 18,000 pekerjaan dan kira-kira 85% pekerjanya beragama Islam.

“QSR Brands terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat menyumbang kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles