Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim memaklumkan bahawa Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Kelantan dijangka dijadikan pusat analisis ketum zon timur menjelang 2022.
Ini berdasarkan peningkatan kes berkaitan penggunaan dadah di negeri berkenaan dan cadangan yang disuarakan oleh pihak Jabatan Kimia Kelantan berkenaan hal itu.
“Perkara ini dicadangkan sendiri oleh Jabatan Kimia Kelantan memandangkan perkembangan semasa yang berlaku di sini. Dengan adanya hasil kajian daripada pihak Jabatan Kimia ini, ia akan banyak membantu pelbagai pihak.
“Kita di bawah Jabatan Kimia sendiri ada beberapa pusat antaranya pusat analisis DNA, pusat analisis air dan kini dicadangkan pula pusat untuk analisis ketum,” katanya kepada pemberita sempena perasmian bangunan Jabatan Kimia Kelantan.
Amzad, dalam masa yang sama berharap pusat analisis berkenaan akan memainkan peranan penting dalam menangani kes penyalahgunaan dadah, selain menyerlahkan perkembangan pembangunan perkhidmatan berkait jabatan kimia.
Untuk rekod Jabatan Kimia Kelantan menerima masing-masing 2,477 dan 2,492 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 24 tan, tidak termasuk 5 tan untuk tahun ini.
Katanya, dengan mengambil kira peningkatan kes itu pihaknya mencadangkan penubuhan pusat berkenaan melibatkan kawasan zon timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu.