TAIPING: Seorang peniaga pisang goreng, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar sebuah motosikal jenis Honda RSX bernilai RM7,000 di Pokok Assam pada 26 Disember lalu.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim, yang menetapkan 14 Januari 2025 sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu fakta kes. Tertuduh, yang kelihatan sebak sepanjang prosiding, didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.
Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM20,000 bersama syarat tidak menghubungi mangsa, tetapi peguam tertuduh memohon pengurangan dengan alasan anak guamnya mempunyai pendapatan rendah sekitar RM1,000 sebulan, menyara empat anak, dan suami yang mengalami strok.
Hakim kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang diminta pendakwaan.
Menurut laporan sebelumnya, kejadian itu berlaku akibat kekecohan ketika penarik kenderaan cuba mengambil motosikal yang dipercayai tertunggak pembayaran. Dalam video yang tular, tertuduh dilihat mencurahkan petrol ke atas motosikal tersebut sebelum menyalakan api.