KOTA BHARU: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan menculik seorang wanita ejen kosmetik pada 13 September lalu.
Tertuduh, Chek Norhafizzi Chek Nor, 31, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menculik, Rosnazirah Mohd Nain, 36.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat Tumpat pada jam 5.06 petang, pada 13 September 2022.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar Adli dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.
Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh membawa lari mangsa ke Thailand.
Mohd Firdaus Zainal Abidin memohon mahkamah supaya membenarkan tertuduh dijamin memandangkan kes itu pramatang kerana ia belum dibicarakan.
Hakim tidak membenarkan tertuduh dijamin kerana kes itu berisiko berikutan membabitkan nyawa orang lain dan ia dilakukan secara kumpulan serta kemungkinan dirancang dan tertuduh ditangkap di Thailand.
“Jika diberikan jaminan kemungkinan tertuduh melarikan diri itu tinggi,” katanya.
Mahkamah juga menetapkan 20 Januari tahun depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan penetapan tarikh bicara.
Terdahulu, media melaporkan dalam kejadian 13 September lalu, Rosnazirah yang juga ejen kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui.