Peniaga Informal, PKMS Di Kelantan, Terengganu Akan Dibantu – PM

KUALA LUMPUR: Bantuan akan diberikan kepada peniaga tidak formal serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan dengan bencana banjir di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan juga akan turut menyalurkan bantuan kepada golongan petani dan penternak.

“Keluarga Malaysia turut bersedih dan simpati dengan mangsa banjir. Justeru bantuan-bantuan untuk mereka akan diteruskan,” katanya menerusi satu catatan di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri turut menzahirkan kesyukuran dengan perkembangan banjir semasa di Terengganu yang kini beransur pulih.

“Alhamdulillah keadaan banjir di Terengganu beransur pulih. Di Kelantan keadaan banjir masih belum reda. Terdapat 22 pusat pemindahan sementara yang masih beroperasi,” katanya.

Untuk rekod sehingga jam 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Kelantan menyaksikan sedikit peningkatan manakala situasi di Terengganu bertambah baik dengan bilangan penduduk yang dipindahkan ke PPS semakin berkurangan.

Sementara itu, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, setakat 11 pagi ini, seramai 16,821 mangsa daripada 4,892 keluarga di kedua-dua negeri masih ditempatkan di 61 PPS yang beroperasi.

BBerkaitan

Latest articles