KUALA LUMPUR: Seorang peniaga gerai makanan didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi penerbitan di aplikasi X, minggu lalu.
Tertuduh, Zaidi Mat Sah, 56, membuat pengakuan itu sejurus tuduhan dibacakan terhadapnya, di hadapan hakim Hazeelia Muhammad.
Hazeelia juga memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Zaidi didakwa menerbitkan penerbitan menghasut apabila membuat satu hantaran di aplikasi X miliknya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Sutera, Johor Bahru kira-kira jam 5.45 pagi pada 29 Disember lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Abdul Ghafar Abdul Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai penjaja makanan tepi jalan selain terpaksa menanggung keluarga termasuk ibunya yang uzur selain anaknya yang disahkan menghidap autisme.
Bagaimanapun, Ghafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius.