JOHOR BAHRU — Seorang peniaga gerai makan ditahan polis selepas dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di aplikasi X pada Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, mengesahkan bahawa lelaki berusia 55 tahun itu ditangkap di sekitar bandar raya Johor Bahru susulan laporan polis yang diterima berhubung hantaran tersebut.
“Polis turut merampas telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan untuk mengakses aplikasi X dan memuat naik hantaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati hantaran itu dimuat naik pada 29 Disember oleh pemilik akaun X Bitz @zatocent.
Sehubungan itu, polis bertindak menahan suspek pada 30 Disember, dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara serta Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk mendapatkan arahan lanjut.
Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan hukuman Denda maksimum RM5,000, Penjara maksimum tiga tahun
Atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan
“Tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini,” tambah Datuk Kumar.
Dalam kenyataan yang sama, beliau menegaskan bahawa Polis Johor memandang serius sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan berkaitan raja, agama, dan kaum (3R).
“Kami memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang menyebarkan kandungan sensitif di media sosial, yang boleh menggugat keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,” katanya.
Pihak berkuasa juga menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dalam membuat hantaran di media sosial bagi mengelakkan tindakan undang-undang.