Pengusaha Kedai Gunting Rambut, Salun, Pasar Malam Perlu Ikut SOP Ketat

Mulai 10 Jun ini, kerajaan membenarkan pengoperasian semula kedai gunting rambut dan salun kecantikan dengan standard operasi prosedur (SOP) yang ketat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri IsmailSabri Yaakob memaklumkan kerajaan turut bersetuju dengan operasi urus niaga pasar malam, bazar dan gerai terbuka mulai 15 Jun depan.

Sedar akan kebimbangan ramai pihak dengan kebenaran operasi perniagaan seperti yang disebutkan, Ismail memberitahu tindakan tegas akan diambil jika ada pihak yang ingkar.

Para pekerja di sektor yang dibenarkan ini perlu memakai pelindung muka dan apron pakai buang dan perlu diganti baru semasa memberi khidmat kepada pelanggan.

Sementara itu, kerajaan menasihatkan golongan yang berisiko tinggi seperti berusia 60 tahun ke atas untuk membuat temu janji untuk memotong rambut.

Sehubungan itu premis berkenaan akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada golongan tersebut yang telah membuat temu janji.

Bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, mereka boleh ditemani ibu bapa dan perlu memakai penutup mulut dan hidung serta apron pakai buang.

Kerusi salun mesti dipisahkan dengan jarak dua meter dan penggunaan semula tuala tidak dibenarkan sama sekali.

Dalam pada itu, pasar buka dan pasar pagi hanya dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 11 pagi, manakala pasar malam hanya selama enam jam, iaitu dari jam 4 petang hingga 10 malam.

Kerajaan membenarkan operasi bazar mulai jam 5 petang hingga 11 malam dengan semuanya perlu mengikut jarak 1.5 hingga 2 meter dan perlu diadakan di lokasi terbuka dan berpagar.

Ia bagi memudahkan kawalan lalu lintas jalan masuk dan keluar dengan hanya jalan sehala, malah hanya ada satu pintu masuk dan satu jalan keluar.

Jualan makanan pula hanya dibenarkan untuk dibawa pulang sahaja dan penjual perlu memakai alat pelindung diri (PPE), sarung tangan dan topeng muka.

BBerkaitan

Latest articles