KUALA LUMPUR: Pertikaian dan kontroversi berkaitan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman kini dianggap selesai selepas pengurusan rumah ibadat itu bersetuju untuk ia dipindahkan ke sebuah lokasi baharu dalam kawasan Jalan Masjid India.
Memetik laporan sebuah portal berita, persetujuan untuk berpindah ke tapak baru itu dibuat hasil perbincangan dan rundingan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kami berterima kasih kepada menteri, wakil rakyat dan pihak berkuasa lain yang membantu mencapai resolusi ini.
“Tapak baru itu berdekatan dan dalam kawasan Jalan Masjid India, serta sesuai sebagai tapak alternatif,” kata Setiausaha Jawatankuasa kuil berkenaan, Kaarthik Gunaseelan.
Dalam pada itu satu lagi mesyuarat akan kedua-dua pihak akan diadakan petang ini bagi memuktamadkan perkara teknikal, disusuli dengan pengumuman rasmi.
Perkembangan ini menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan program pecah tanah di tapak Masjid Madani di Jalan Masjid India, Khamis ini akan diteruskan dan beliau akan hadir untuk merasmikannya.
Tambahnya, semua rakyat tanpa mengira kaum majoriti atau minoriti perlu sentiasa mematuhi undang-undang kerana Malaysia ditegakkan atas dasar hukum atau peraturan.