KUALA LUMPUR: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa proses pembedahan, pembekuan dan pengawetan mayat adalah haram di sisi agama Islam.
Ini kerana perbuatan itu sama seperti menyakiti jenazah dan bersifat penganiayaan.
“Perbuatan menyakiti jenazah dilarang agama kerana manusia merupakan makhluk yang dimuliakan dan menyakiti jenazah adalah sama seperti menyakitinya ketika hidup,” ujar kenyataan itu menerusi laman Faceebook hari ini.
Kenyataan itu turut memetik syarahan daripada Imam al-Nawawi yang memetik hadis riwayat Abu Hurairah RA menyarankan supaya pengurusan jenazah disegerakan kerana terdapat hikmah sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.
“Jika terdapat keperluan mendesak maka ia harus dilakukan dengan penuh berhati-hati mengikut keperluan dan berlandaskan prosedur ditetapkan oleh pihak berautoriti.
“Sebagai contoh, penangguhan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan pada tubuh jenazah, maka hukum mempercepatkan pengurusan jenazah tersebut menjadi wajib.
“Selain itu pengurusan mestilah dilakukan secara tertutup dan menjaga aib jenazah serta haram menyiarkannya secara terbuka,” kata kenyataan itu.
Baru-baru ini, Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar meminta Mufti Wilayah Persekutuan, Profesor Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah segera mengeluarkan penjelasan mengenai isu pembekuan mayat.
Ia selepas kes yang tular membabitkan mayat seorang bayi yang dibekukan selama dua minggu di sebuah hospital swasta di Klang, kononnya akibat ketidakmampuan pihak keluarga membayar kos kelahiran.
Dalam pada itu, kenyataan itu bagaimanapun berkata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tidak akan menyentuh kejadian yang berlaku kerana tidak mendapat maklumat terperinci mengenainya, sebaliknya hanya berkongsi pandangan Islam.
Jelasnya, bahkan menurut para ulama mazhab al-Syafi’i menyegerakan pengurusan jenazah merangkumi kesemua tatacara pengurusan bermula daripada proses pemandian, solat hingga ke pengebumian jenazah merupakan perkara yang sunat.
“Ulama mazhab al-Syafi’i tidak membenarkan melewatkan pengurusan jenazah melainkan untuk menunggu wali atau ahli keluarga yang terdekat selagi mana tidak mengubah keadaan jenazah.
“Selain itu, jika kelewatan itu disebabkan suatu maslahah tertentu, maka ia dibenarkan,” ujarnya.