Pengurusan Haji Malaysia Terbaik Dunia, Arab Saudi Pertimbang Tambahan Kuota

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menjadi antara negara terawal menerima tambahan kuota jemaah haji sekiranya kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk meluaskan jumlah kehadiran pada musim haji akan datang.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar susulan pertemuannya dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah, baru-baru ini.

“Ketika saya menyampaikan hasrat Malaysia untuk mendapatkan kuota tambahan, beliau memaklumkan perkara itu akan dibincangkan dalam jawatankuasa khas Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Namun, beliau turut menjelaskan bahawa sebarang keputusan akan mengambil kira aspek keselamatan jemaah,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kelas Bimbingan Fardhu Ain (KAFA) Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak 2025 di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, hari ini.

Menurutnya, kerajaan Arab Saudi tidak mahu jumlah jemaah terlalu ramai bagi mengelak risiko keselamatan, khususnya dalam cuaca panas melampau yang boleh meningkatkan kadar kematian semasa ibadah haji.

“Walaupun begitu, beliau menyatakan jika kuota tambahan diluluskan, Malaysia akan diberikan keutamaan kerana pengurusan haji kita diiktiraf antara terbaik di dunia.

“Tambahan pula, jemaah Malaysia terkenal dengan disiplin dan ketertiban tinggi,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Na’im turut menyambut baik langkah kerajaan Arab Saudi memperkenalkan syarat kesihatan baharu kepada semua jemaah haji, dua minggu lalu.

Beliau menyifatkan langkah itu sejajar dengan usaha memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah di seluruh dunia.

“Peraturan tersebut bukan bertujuan menyusahkan, sebaliknya memastikan semua jemaah berada dalam keadaan sihat agar dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan memperoleh haji mabrur,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles