Pengunduran Muhyiddin Beri Laluan PAS Teraju PN Untuk Hadapi PRU16

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik keputusan Bersatu menerima hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berundur daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), sambil menyifatkannya sebagai langkah penting untuk menggerakkan gabungan itu ke fasa baharu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata keputusan yang dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu membuka ruang kepada PN untuk mara ke hadapan tanpa dibelenggu polemik lama.

“Ini keputusan yang baik. PN perlu terus bergerak. Kami berharap PAS diberi peluang memimpin PN menuju PRU16,” katanya.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, menyeru agar PAS diberi mandat mengemudi gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan peletakan jawatannya hujung Disember lalu melalui surat rasmi, dengan tarikh kuat kuasa pada 1 Januari.

Bagaimanapun, mengikut Perlembagaan PN, peletakan itu hanya muktamad selepas disahkan oleh Majlis Tertinggi (MT) PN.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, telah menulis kepada MT PN bagi mendesak mesyuarat tergempar diadakan untuk mengesahkan peletakan jawatan tersebut dan membincangkan pengganti baharu.

Setakat ini, tiada mana-mana pihak mengemukakan nama calon untuk jawatan pengerusi PN, dan perkara itu turut disahkan oleh Muhyiddin serta Abdul Hadi.

BBerkaitan

Latest articles