Pengundi Dengkil Mahu Wakil Rakyat Yang Sealiran Dengan Kerajaan Negeri, Pusat

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Noorazli Said terus ‘memecut’ meraih sokongan masyarakat setempat dalam tempoh terakhir kempen Pilihan Raya Negeri.

Noorazli melahirkan keyakinan bahawa beliau menerima sokongan yang baik dari masyarakat dan pengundi di Dengkil, walaupun baru pertama kali dicalonkan dalam PRN.

Kata Noorazli, penduduk Dengkil sebenarnya teruja dengan Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN ketika ini dan mahu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

“Warga Dengkil juga tidak sabar untuk menterjemah sokongan mereka ini melalui undi pada 12 Ogos ini. Untuk makluman anda, Dengkil sudah mempunyai wakil rakyat berstatus pembangkang untuk tempoh tiga penggal kira-kira 15 tahun ini sejak 2008 lagi.

“Hari ini mereka mahu wakil rakyat dalam kalangan daripada kerajaan supaya semua faedah, dasar dan polisi itu dapat di nikmati oleh mereka selepas ini,” katanya memetik MalaysiaGazette, hari ini.

Noorazli juga mendedahkan dirinya bukan orang asing di Dengkil mahu pun Sepang dan sudah banyak menabur bakti terutama ketika daerah ini dilanda banjir pada akhir tahun 2021 dan pandemik Covid-19.

“Tidak ada ceruk tempat di Dengkil dan Sepang yang saya tidak turun malah saya bukan turun padang ketika PRN sahaja, kempen dua minggu ini sahaja tapi saya sudah jadi ‘orang lama’,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Noorazli, antara fokus utama beliau di Dengkil ialah masalah banjir kilat yang kerap membelenggu penduduk terutama setiap kali hujan lebat malah ia antara kawasan terjejas ketika besar melanda Selangor sekitar Disember 2021 akibat limpahan Sungai Langat.

Katanya, banjir itu berpunca daripada masalah sistem perparitan biarpun hujan pada kadar singkat sekitar empat hingga lima jam.

Selain itu, dalam manifestonya, Noorazli membawa tujuh tekad pada PRN kali ini merangkumi inisiatif kesihatan, infrastruktur, keagamaan, pendidikan, sukan, kebajikan dan ekonomi.

Pada PRN kali ini, Noorazli akan bersaing dengan tiga calon lain masing-masing Datuk Seri Jamil Salleh dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Daud Leong Abdullah (Parti Utama Rakyat) dan Darren Ong (Parti Sosialis Malaysia).

BBerkaitan

Latest articles