KUALA LUMPUR: Suasana di Mahkamah Sesyen di sini bertukar kecoh hari ini apabila seorang bekas kakitangan sokongan komersial sebuah stesen televisyen berbayar tiba-tiba rebah dan pengsan dalam kandang tertuduh ketika mendengar pertuduhan ke-30 daripada 743 kesemuanya dibacakan terhadapnya.
Tertuduh, Nora Idayu Jaafar, yang pernah memegang jawatan sebagai ‘Associate Department’ di Unit Sokongan Komersial syarikat tersebut, didakwa melakukan manipulasi sistem data dalaman dengan menukar status akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat tanpa kebenaran, dalam tempoh antara 2013 hingga 2020.
Tindakan itu, menurut pihak pendakwaan, dilakukan ketika beliau bertugas di ibu pejabat syarikat berkenaan di Jalan Tun Razak, dan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
Jika sabit kesalahan, Nora Idayu berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM100,000, atau kedua-duanya sekali.
Ketegangan prosiding meningkat apabila Nora Idayu tiba-tiba tumbang di hadapan Hakim Norma Ismail sebaik sahaja pertuduhan ke-30 dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abdul Rahman.
Mahkamah terpaksa menangguhkan prosiding bagi membolehkan rawatan segera diberikan kepada tertuduh yang ketika itu tidak diwakili mana-mana peguam.
Selepas prosiding bersambung, Hakim Norma menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 26 Jun ini sebagai tarikh untuk menyambung prosiding dengan baki 713 pertuduhan lagi bakal dibacakan.