Penglibatan JPKK Akan Menambah Lagi Perpecahan

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali melahirkan kegusaran terhadap penglibatan jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK) dalam pemilihan jawatankuasa masjid yang berkemungkinan menyebabkan berlaku perpecahan.

Mohd Khairuddin mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi yang mengumumkan JPKK akan dilibatkan secara langsung dalam proses pelantikan jawatankuasa masjid di seluruh kariah.

Dalam pada itu bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mendakwa, langkah itu dilaksanakan supaya parti pemerintah dapat menguasai semua masjid di negeri berkenaan.

Ini kerana pada kebiasaannya ahli-ahli JPKK lazimnya merupakan ahli jawatankuasa PAS cawangan.

“Politik kepartian akan mewarnai masjid. Perpaduan yang diharapkan akan bertukar menjadi perpecahan. Akan berlaku nanti ahli jawatankuasa masjid yang tak hadir ke masjid,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Khalil berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berhubung perkara tersebut, maklumat berkaitan dengan pelantikan ahli jawatankuasa masjid dapat disampaikan dengan kerjasama JPKK.

Dalam pada itu Mohd Khairuddin meminta MAIDAM melihat perkara tersebut dengan lebih halus.

“Pemilihan ahli jawatankuasa masjid hendaklah dalam kalangan ahli kariah yang sentiasa memakmurkan masjid tersebut meskipun apa warna baju politiknya,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles