KUALA LUMPUR: Penyandang Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin kini sudah menerima ‘balasannya’ akibat mengkhianati PKR, demikian menurut Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah Anwar menggesa pengundi di Ampang menyingkirkan Zuraida kerana meninggalkan parti selepas memenangi kerusi Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di bawah tiket PH.
https://twitter.com/armanamin330/status/1592352706152497153?t=89IGjTLHgbrFsGWm0BM17Q&s=19
“Jangan bagi undi kepada pengkhianat. Biar dia rayu ditepi jalan. Baru dia tahu, dulu bukan main bye bye Anwar,” katanya pada Ceramah Pilihan Raya Ampang, malam tadi.
Tular di media sosial sejak semalam adalah video merakamkan aksi Zuraida yang juga Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) berdiri di tengah jalan untuk berkempen bagi meraih undi pada PRU15.
Video dengan durasi 30 saat itu memaparkan beliau memegang plakad sambil berdiri di atas pembahagi jalan.
Difahamkan, video itu dirakam ketika Zuraida bersama penyokongnya hadir pada flashmob di jalan utama berhampiran stesen minyak Ampang Jaya pada pagi Selasa.
Tindakan merbahaya tersebut telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna media sosial.
Kerusi Parlimen Ampang yang disandang Zuraida sejak 2008 menyaksikan persaingan sengit dengan pertembungan sembilan penjuru pada PRU15.
Beliau yang memenangi Parlimen Ampang atas tiket PKR pada PRU14, bagaimanapun mewakili PBM pada kali ini dalam usaha mempertahankan kerusi itu.
Selain Zuraida, Parlimen Ampang akan ditandingi Rodziah Ismail (Pakatan Harapan), Ivone Low Yi Wen (Barisan Nasional), Dr Nurul Ashikin Mabahwi (PEJUANG) dan Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional).