KUALA LUMPUR: PAS mengambil pendirian tidak akan meminta setiap calon parti itu yang bertanding untuk melakukan pengisytiharan harta seperti yang dibuat oleh calon PKR untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa tindakan mengisytiharkan harta tersebut dilihat hanya sia-sia dan tidak mempunyai keperluan yang mendesak.
Namun dalam masa yang sama keengganan PAS melakukannya tidak membawa maksud
calon-calon parti itu tidak bersikap telus.
Dalam pada itu, penyandang kerusi Parlimen Marang itu berkata, PAS tidak mempunyai masalah atau halangan sekiranya ada calonnya yang mahu berbuat demikian mengikut pertimbangan serta kebijaksanaan masing-masing.
“Nak isytihar harta bukan dalam tempoh dua minggu ini. Masyarakat setempat lebih tahu calon kita di tempat masing-masing, jadi buat apa kita nak tunjuk-tunjuk dekat orang. Harta (calon dan pemimpin PAS) tak banyak, orang lain sebut juta-juta..kita ratus ribu tak sampai juta,” katanya hari ini.