KUALA LUMPUR: Seorang perunding pengurusan acara sambilan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan terhadap seorang jurugambar wanita melalui tiga komunikasi di akaun Twitternya, bulan lepas.
Mohamad Safiq Rosli, 37, yang merupakan individu pertama didakwa atas kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
“Tidak mengaku, minta bicara,” katanya dalam keadaan tenang.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melalui aplikasi Twitter atas nama akaun “@sopert99” telah secara berulang mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, dengan menghantar tiga komunikasi berbentuk luahan perasaannya di akaun Twitter milik mangsa “@ShaFoShizzle” yang telah dibaca di sebuah rumah di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1.40 pagi, 15 Julai dan 5.58 petang, 21 Julai lalu yang mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan menghendap di bawah Seksyen 507A(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 507A(3) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh mengambil kira faktor tertuduh sebelum ini telah melanggar syarat jaminan polis bagi kes dihadapinya membabitkan mangsa yang sama di United Kingdom (UK).
“Tertuduh sepatutnya hadir ke mahkamah di negara itu untuk memberi penjelasan atas pelanggaran jaminannya pada 2 Jun lalu, namun dia bertindak melarikan diri ke Malaysia menyebabkan namanya telah disenarai hitam di UK.
“Saya juga diarahkan untuk menghantar tertuduh ke Unit Forensik Psikiatri di Hospital Ulu Kinta untuk pemerhatian. Sebelum ini, tertuduh telah dihantar oleh keluarganya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan dan pihak hospital juga telah memberikan laporan perubatan tertuduh hari ini,” katanya.
Selain itu, katanya tertuduh juga telah ditempatkan di wad psikiatri di HKL sejak 17 Julai sehingga kini.
Peguam Fithril Hakim Ab Jalil yang mewakili Mohamad Safiq tidak membantah permohonan pendakwaan yang tidak menawarkan sebarang jaminan.
Sementara itu, peguam pemerhati Jason Wee yang hadir bagi pihak Acacia Mardiana memohon satu perintah perlindungan terhadap anak guamnya bagi mengelakkan gangguan berulang daripada tertuduh.
“Perintah ini harus diberikan kepada anak guam saya untuk mengelakkan gangguan seterusnya kerana melibatkan soal keselamatan. Tertuduh terbang ke UK untuk meneruskan perbuatan itu terhadap mangsa yang sama,” katanya.
Sehubungan itu, peguam itu berharap agar tertuduh dapat ditahan agar tidak dapat menghampiri mangsa dan tidak berkomunikasi dengan apa-apa cara dengan mangsa sehingga kes itu selesai.
Sasha Diana membenarkan permohonan pendakwaan untuk merujuk tertuduh ke Hospital Ulu Kinta dan akan menetapkan jumlah jaminan selepas selesai pemerhatian di hospital tersebut.
Mahkamah juga membenarkan permohonan perintah perlindungan diberikan kepada mangsa dan menetapkan 7 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Menerusi hantaran di Instagram baru-baru ini, seorang jurugambar Acacia Mardiana mendedahkan dirinya hidup dalam ketakutan selama lapan tahun gara-gara sering diganggu secara seksual seorang lelaki di media sosial.
Pendedahan itu juga menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang menggesa Acacia Mardiana untuk menyerahkan bukti termasuk laporan polis dan tangkap layar ke e-mel rasmi kerajaan untuk tindakan lanjut. – Bernama