KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan sebarang cadangan penambahbaikan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya akan dibuat selepas keputusan rayuan penggantungan tujuh pemain Harimau Malaya oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dimuktamadkan.
“Kita tunggu dulu keputusan rayuan. Selepas itu barulah kita lihat apa bentuk penambahbaikan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri projek penggantian paip di Taman Bukit Maluri.
Mengulas mengenai kemungkinan KBS menawarkan bantuan perundangan kepada FAM, Hannah menjelaskan ia tidak relevan kerana FAM sudah memiliki pasukan guaman sendiri.
“FAM ialah antara persatuan sukan terbesar negara dan mereka ada penasihat undang-undang sejak dahulu lagi. Setakat ini, mereka juga belum menghubungi KBS untuk sebarang bantuan,” katanya.
Minggu lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan denda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) terhadap FAM kerana melanggar Artikel 22 berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit turut digantung 12 bulan serta didenda 2,000 franc Swiss (RM11,000) setiap seorang.
Antara pemain yang dikenakan tindakan termasuk Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Mereka beraksi ketika Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun lalu dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman sebelum ini menjelaskan rayuan akan dibuat selepas menerima penghakiman penuh FIFA, sambil mengakui wujud “kesilapan teknikal” dalam proses penyerahan dokumen pemain warisan tersebut.