Pengesahan Lafaz Taklik Dibuat Selepas Isteri Langgar Perjanjian – Along Cham

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Along Cham memfailkan pengesahan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini.

Along, atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa Afreena telah melanggar tiga syarat perjanjian yang ditetapkan dalam perkahwinan mereka, termasuk menipu dan membelakangkan dirinya pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran perjanjian ketiga.

“Saya sayangkan rumah tangga ini dan telah memberi peluang, namun dia tetap melanggar syarat. Antara syarat taklik yang saya tetapkan adalah jangan menipu dan membelakangkan saya. Malangnya, semuanya dilanggar,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

Along turut mendakwa wujud pihak ketiga dalam isu rumah tangga mereka, tetapi menegaskan ia bukan berkaitan dengan kecurangan.

“Orang ketiga memang wujud, tetapi ia bukan sepenuhnya ke arah curang. Banyak perkara berlaku di belakang saya, dan ia sudah terlalu banyak kali,” katanya.

Along mendedahkan bahawa beliau pada asalnya ingin memfailkan pengesahan lafaz cerai taklik pada 16 Disember lalu.

Namun, proses itu tertangguh selepas beliau ditahan polis atas tuduhan memiliki dadah pada 14 Disember.

“Saya perlu menyiapkan beberapa dokumen terlebih dahulu untuk urusan ini. Banyak perkara berlaku dalam hidup saya sejak keluar dari ‘madrasah’ (penjara). Malah, kad pengenalan saya pun masih dipegang isteri,” jelasnya.

Along menyatakan rasa kecewa dengan krisis rumah tangga yang melanda perkahwinannya bersama Afreena, yang baru dibina selama sembilan bulan.

“Tiada siapa berkahwin untuk bercerai. Saya kecewa dengan apa yang terjadi, tetapi inilah akibatnya jika isteri tidak taat kepada suami. Doakan yang terbaik untuk kami berdua,” ujarnya.

Perkahwinan Along dan Afreena, 32, berlangsung pada 4 April tahun lalu.

Sebelum ini, Along pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat, Zila Seeron, pada Januari 2010. Mereka bercerai talak satu pada 29 Ogos 2016 dan mempunyai seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, kini berusia 13 tahun.

BBerkaitan

Latest articles