ALOR SETAR: Kedah tidak pernah dipaksa atau perlu menjadi miskin hanya kerana menanam padi, hakikatnya 90 peratus tanah di negeri ini masih boleh dibangunkan bagi tujuan komersial.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh, berkata keluasan tanaman padi MADA hanya kira-kira 10 peratus berbanding keluasan negeri yang boleh dibangunkan bagi mendapat hasil cukai tinggi.
“Dalam sidang media selepas Mesyuarat EXCO semalam, nampak Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) tak boleh ‘move on’ mengenai pendapatan Kedah.
“Beliau mendakwa Kedah dipaksa jadi miskin sebab berkorban untuk (tanam) padi, inilah pemikiran negatif Menteri Besar Kedah secara berterusan.
“Kawasan tanaman padi MADA hanya 10 peratus dari keluasan Kedah, masih ada 90 peratus lagi tanah yang boleh dibuat perumahan dan industri dengan cukai tanah yang lebih tinggi,” katanya lapor Berita Harian.
Dr Ismail yang juga bekas EXCO Kesihatan Kedah berkata, kenyataan Muhammad Sanusi itu menunjukkan kerajaan negeri ketika ini, seolah-olah buntu untuk mencari sumber pendapatan lain.
Pada masa sama katanya, usaha untuk memohon peruntukan RM200 juta dari Kerajaan Persekutuan juga dilihat tidak serius kerana kerajaan negeri tidak bersedia mewartakan kawasan tanaman padi di bawah MADA.
“Kalau serius perlu pewartaan (kawasan tanaman padi) dan (Kerajaan Negeri) boleh usahakan untuk mendapatkan pampasan kredit karbon.
“Jadi Kerajaan Persekutuan juga akan nampak keseriusan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan hasil padi demi keterjaminan makanan negara,” katanya.
Semalam, media melaporkan Kedah memohon ganti rugi RM200 juta setahun dari Kerajaan Persekutuan berikutan kehilangan pendapatan demi mengekalkan tanah sawah bagi menjamin keselamatan makanan negara.
Muhammad Sanusi berkata, permohonan ganti rugi itu dianggap munasabah kerana permintaan membangunkan tanah sawah bagi tujuan perumahan, industri dan komersial meningkat setiap tahun.
Beliau berkata, Kedah kehilangan cukai pembangunan berkenaan yang jumlahnya adalah RM1,000 per hektar berbanding hanya RM15 per hektar kerana mengusahakan sawah.
Katanya, adalah tidak adil untuk membuat perbandingan Kedah sebagai negeri miskin sedangkan negeri ini ‘diarahkan’ menjadi miskin.