Pengerusi Kuil Didakwa Ceroboh Tanah Persendirian Di Dengkil

KUALA LUMPUR 3 Isu pencerobohan tanah kembali menjadi tumpuan apabila seorang pengerusi kuil dihadapkan ke Mahkamah Majistret selepas didakwa menceroboh tanah milik persendirian tanpa kebenaran.

Seorang lelaki yang merupakan pengerusi sebuah kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan menceroboh tanah persendirian yang didakwa berlaku tahun lalu.

Tertuduh, M. Paramaguru, 49, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memasuki kawasan tanah milik Datuk Suhaili Ahmad, 70, tanpa kebenaran di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada jam 4.45 petang, 19 Jun 2025.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim mencadangkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Namun, peguam tertuduh, Darshela Hari Raja merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira tanggungan keluarga, termasuk bayi berusia 11 bulan dan seorang anak berusia enam tahun, serta isterinya yang tidak bekerja.

Peguam itu turut memaklumkan bahawa anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau, sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis dan tidak berisiko melarikan diri kerana mempunyai pekerjaan serta keluarga di negara ini.

Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, sebelum menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.

Difahamkan, tertuduh ditahan di kediamannya di lokasi sama pada jam 3.30 petang Ahad lalu.

Sebelum ini, media melaporkan pemilik tanah terbabit telah memberi tempoh selama seminggu kepada pihak pengurusan kuil berkenaan untuk mengosongkan kawasan yang didakwa diduduki secara tidak sah.

BBerkaitan

Latest articles