Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Badan Berkanun Johor Ditahan SPRM

JOHOR BAHRU: Seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun di Johor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa dalam urusan permohonan lot tapak perumahan.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 7.30 malam semalam selepas hadir untuk memberikan keterangan di Pejabat SPRM Johor.

Menurut sumber, siasatan mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan dalam tempoh hampir sedekad, iaitu antara 2016 hingga 2025.

Suspek dipercayai meminta bayaran kira-kira RM4,000 daripada setiap pemohon lot tapak rumah, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.6 juta membabitkan kira-kira 400 pemohon.

Wang yang dikutip itu kemudiannya dipercayai diseleweng untuk kegunaan peribadi melalui pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa berkenaan.

Siasatan turut mendapati pengeluaran wang terbabit dipercayai dilakukan menggunakan invois palsu bagi mengaburi tujuan sebenar transaksi.

Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, mengesahkan kes berkenaan dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A), Seksyen 18 serta Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya selesai direkodkan.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kes berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles