KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu tiada siapa memaksa atau mendesak Khairy Jamaluddin untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Dedah Ahmad Zahid, Menteri Kesihatan itu sendiri yang meminta untuk bertanding di kerusi tersebut.
“KJ yang minta diberikan peluang bertanding di sana dan saya tunaikan permintaannya,” katanya.
Katanya ketika ditemui media selepas melawat Bilik Gerakan Pilihan Raya Titiwangsa, semalam.
Presiden UMNO itu berkata demikian ketika ditanya keputusan BN meletakkan Khairy di kawasan yang bukan kubu kuat gabungan itu.
Sementara itu, ditanya mengenai cita-cita Khairy untuk menjadi Perdana Menteri pada masa depan, Ahmad Zahid berkata terlalu awal untuk beliau mengulas perkara itu.
“Perkara itu bergantung kepada keputusan pilihan raya akan datang bukan pilihan raya kali ini,” katanya.
Khairy yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dicalonkan di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada (PRU15).
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu bertukar kawasan bagi memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di Parlimen Rembau.
Sementara itu, ketika melawat Bilik Gerakan BN di Wangsa Maju, Ahmad Zahid menangkis dakwaan pembangkang yang menyatakan BN tidak ada duit untuk berkempen.
Katanya, diakui BN tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak tetapi akan terus berkempen.
“Saya tengok sebaik melangkah ke sempadan Wangsa Maju ini tetap banyak berkibar bendera BN, walaupun penuh kepayahan kita akan terus berkempen dengan kemampuan yang ada,” katanya.