Pengeluaran Akaun 1 KWSP, Najib Tegaskan Rakyat Ada Hak

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertujuan untuk menjaga kebajikan rakyat malah agensi itu mempunyai ruang aliran tunai untuk membenarkan pengeluaran sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 untuk pencarum yang paling terdesak.

Beliau berkata demikian susulan reaksi pelbagai dari banyak pihak berhubung kebenaran mengeluarkan sejumlah wang daripada Akaun 1 KWSP.

”Sebab itu, rakyat ada hak untuk gunakan sebahagian wang ini pada masa mereka paling terdesak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Baru-baru ini Najib melontarkan cadangan tersebut bagi mengurangkan beban rakyat yang terhimpit akibat penularan COVID-19, apatah lagi ada dalam kalangan mereka yang hilang sumber pendapatan.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sukar untuk kerajaan melaksanakan cadangan itu buat ketika ini.

Mengulas lebih lanjut, Najib berkata tiada siapa yang mengatakan bahawa wang yang dikeluarkan hari ini pada masa kadar dividen KWSP tak dijangka tinggi, tidak boleh dimasukkan kembali setahun atau dua tahun kemudian.

Ujarnya terdapat dua cara untuk memulihkan semula simpanan pencarum iaitu dengan menaikkan semula kadar caruman KWSP majikan dan ahli yang telah diturunkan pada awal tahun ini.

Selain itu melalui pemberian projek-projek lumayan kepada KWSP oleh kerajaan dengan tujuan untuk menjana lebih keuntungan.

”Jika dibenarkan, wang yang dikeluarkan pada masa ini akan merancakkan kitaran wang ekonomi tempatan pada ketika ekonomi lembab akibat Covid-19.

”Akhirnya balik kepada kerajaan melalui pelbagai cukai juga,” kata Najib.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,802FollowersFollow
20,900SubscribersSubscribe

Terkini