Seorang lelaki berusia 52 tahun ditemui mati di hadapan sebuah kedai runcit dipercayai akibat ditikam menggunakan gunting di sebuah perumahan awam di Cheras, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu pada kira-kira pukul 2.03 petang.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan dipercayai ditikam dengan objek tajam.
“Saksi kejadian memaklumkan mangsa dan suspek dipercayai bertengkar di hadapan kedai di lokasi kejadian sebelum mangsa jatuh ke lantai dan suspek kemudian melarikan diri,” katanya ketika dihubungi.
Polis sudah mengenalpasti identiti mangsa dan menyiasat punca kejadian dengan merekodkan keterangan daripada saksi-saksi.
Mayat dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, pemilik kedai runcit di lokasi kejadian yang dikenali sebagai Nisa, 29, berkata beliau melihat mangsa berjalan dengan seorang lelaki sebelum kedua-dua mereka bertengkar.
“Lelaki itu kemudian masuk ke dalam kedai untuk membeli air. Saya tidak sedar lelaki itu telah mengambil gunting di atas meja dan menikam mangsa,” katanya.
Nisa juga memaklumkan dia segera menutup kedainya bagi memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.