KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan direman selama empat hari bermula hari ini selepas disyaki mencederakan isterinya menggunakan pedang samurai dan mengugut untuk membunuh mangsa dalam kejadian yang berlaku dua minggu lalu di Krubong.
Perintah reman terhadap suspek berusia 27 tahun itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang masing-masing berkait dengan kesalahan mencederakan dan melakukan ugutan jenayah.
Insiden dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam pada 12 April lalu apabila suspek dikatakan menemui aplikasi mencari kenalan baharu dalam telefon bimbit isterinya yang berusia 19 tahun.
Kejadian itu berlaku di rumah keluarga mangsa di Krubong.
“Suami mangsa yang berang terus menuduh isterinya berlaku curang. Walaupun mangsa menafikan, suspek bertindak agresif dengan mengambil pedang samurai sepanjang 0.5 meter dari dalam almari dan mengugut untuk membunuh isterinya supaya mengaku,” kata sumber.
Suspek kemudian dilaporkan memukul mangsa menggunakan belakang pedang tersebut di bahagian lengan kiri hingga meninggalkan kesan lebam dan merah.
Konflik berterusan sehingga 21 April apabila suspek terus mendesak mangsa mengaku curang.
Keadaan bertambah buruk apabila lelaki itu didakwa mencekik mangsa serta menumbuk muka wanita berkenaan ketika mereka berada di rumah.
Kejadian kemuncak berlaku sehari sebelum tangkapan, ketika mangsa berada di rumah mentua di Tanjung Minyak.
Suspek sekali lagi mendesaknya mengaku di hadapan keluarga sambil mengeluarkan ugutan bunuh.
Mangsa yang ketakutan akhirnya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak semalam kerana bimbang keselamatannya terancam.