KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen memerintahkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula hari ini, selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana bersalah, mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali Bella.
Hakim, Izralizam Sanusi, mengarahkan Siti Bainun dihantar ke penjara serta-merta, selepas menolak permohonan peguam bela pengasas Rumah Bonda itu, Mohammad Farhan Maaruf, untuk menangguhkan hukuman berkenaan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
“Tertuduh tidak menunjukkan alasan terjumlah kepada keadaan khas atau luar biasa. Sabitan tertuduh disahkan oleh mahkamah ini dan tiada sebab untuk meyakinkan saya menangguhkan hukuman penjara yang diperintahkan.
“Faktor diutarakan menjaga ibu adalah perkara peribadi tertuduh berkaitan ahli keluarga. Pemfailan rayuan semata-mata bukan justifikasi untuk membenarkan permohonan.
“Faktor dikemuka tanpa keadaan khas tidak memadai, saya berpendapat dalam kes ini, keadilan dapat disampaikan sebaik-baiknya melalui pelaksanaan hukuman dengan serta-merta,” tegasnya.
Siti Bainun diarahkan dipenjara 12 tahun kerana mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohammad Farhan menyenaraikan 16 persoalan undang-undang menerusi permohonan itu, termasuk rayuan sabitan dan hukuman yang difailkan di Mahkamah Tinggi perlu didengar dan diputuskan terlebih dahulu.
Selain itu, katanya, anak guam tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah sebelum ini.
“Anak guam tidak pernah melanggar sebarang syarat jaminan dan tiada risiko untuk melarikan diri memandangkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sejak awal kes bermula.
“Anak guam dikenakan ikat jamin yang tinggi iaitu RM17,000 dan sentiasa menghadiri prosiding, selain ada masalah kesihatan dan ibu tua yang sakit yang memerlukan perhatian serta rawatan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, berkata tidak wujud keadaan khas dalam kes itu bagi membolehkan mahkamah menggunakan budi bicara menangguhkan hukuman.
Katanya, alasan Siti Bainun perlu menjaga ibu yang sakit tidak boleh dijadikan faktor khas berikutan bukan individu itu yang dituduh di mahkamah sebaliknya pengasas Rumah Bonda berkenaan.
“Pembelaan juga menyatakan bahawa tertuduh aktif dalam kerja amal, namun dalam kes ini terbukti dia (Siti Bainun) berselindung di sebalik kerja amal sehingga dituduh serta disabitkan kesalahan.
“Peguam Siti Bainun membangkitkan bahawa tertuduh ada isu kesihatan sedangkan kemudahan perubatan di penjara Malaysia tersedia setiap masa,” katanya.